2012/10/12

Kata Ganti Nama

Dalam pelajaran pertama kami telah belajar tentang kata nama am dan kata nama khas. Sekarang, mari kami teruskan dengan kata ganti nama. Kata ganti nama ialah perkataan yang menggantikan kata nama am dan kata nama khas. Ia boleh dibahagikan kepada kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri boleh dibahagi lagi kepada kata ganti nama diri tanya dan kata ganti nama diri orang.


Kata ganti nama tunjuk digunakan untuk menunjukkan sesuatu.
Contoh: itu, ini.

Ayat contoh kata ganti nama tunjuk:
Rumah yang kita duduki ini kepunyaan Sir Thomas.
Baju yang tergantung pada almari itu sungguh cantik.

Kata ganti nama diri tanya digunakan untuk merujuk pada orang atau benda dalam bentuk ayat tanya. Ia terdapat juga dalam benduk gandaan.
Contoh: apa, siapa, mana, apa-apa, sesiapa/siapa-siapa, mana-mana.

Ayat contoh kata ganti nama diri tanya:
Apakah yang kamu buat di sana?
Yang mana satu kawan kamu, Taufiq?
Jangan benarkana sesiapa pun masuk ke dalam kawasan ini!

Kata ganti nama diri orang digunakan untuk menggantikan nama seseorang individu atau sesuatu pihak.
Contoh: beta, saya, aku, hamba, patik, kita, tuanku, kamu, awak, engkau, saudari, anda, kalian, baginda, beliau, dia, mereka, ia, -nya.

Ayat contoh kata ganti nama diri orang:
Saya berharap kamu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Sultan Mansur Shaha ialah raja yang prihatin. Baginda sentiasa mendengar masalah yang dihadapi rakyat.
Kita mesti menang dalam perlawanan bola sepak nanti.


Pelajar-pelajar sila memberi perhatian semasa mengguna kata ganti nama diri supaya tidak membuat kesalahan. Kata ganti nama diri beliau hanya digunakan untuk orang yang berpangkat dan dihormati. Satu lagi kesalahan umum yang dibuat oleh pelajar ialah menggandakan kata ganti nama diri orang. Sila ingat bahawa semua kata ganti nama diri orang tidak boleh digandakan.

Ayat contoh:
Beliau terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan catur. (SALAH)
Dia terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan catur. (BETUL)

Datuk Kamarulzaman merupakan Pengerusi PIBG sekolah itu. Beliau sentiasa mengambil berat tentang pencapaian murid-murid dalam akademik. (BETUL)

Saya-saya belatih dengan bersungguh-sungguh untuk menang. (SALAH)
Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk menang. (BETUL)

Mereka-mereka berasa sedih atas kekalahan itu. (SALAH)
Mereka berasa sedih atas kekalahan itu. (BETUL)



0 comments:

Post a Comment

Template by:

Free Blog Templates